Friday, September 16

Hari Raya vs Pilihan Raya di Denmark

Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia walau di ceruk mana anda berada..
Rakyat Malaysia di Denmark berhari raya sakan bertema kampung di Copenhagen (10 Sept 2011).  Yang kat belakang, kanan tu pokok pear ye, bukan pokok jambu, ok. :)

Bulan syawal baru menjangkau 18 hari. Tatkala seluruh umat Islam masih dalam mood merayakan Aidilfiti, seluruh warganegara Denmark turut beraya. Bukan menyambut Hari Raya, tapi kerana Pilihan Raya.


Persepsi: Pilihanraya Denmark vs Pilihanraya Malaysia
Demam pilihanraya: Kehangatan pilihanraya di Denmark tidaklah sehebat mana. Tak nampak sangat suasana pilihanraya. Yang ada hanyalah poster gambar-gambar calon beserta label parti yang mereka wakili yang dilekatkan pada plywood dan diikat kukuh di tiang-tiang lampu di tepi jalan. Nampak kemas serta tidak serabut mata memandang.
Poster kempen di tiang sekitar Kongens Nytorv
Kat sini juga tiada campaign banner tergantung sana sini. Apatah lagi sepanduk dengan kata-kata menyindir parti pihak lawan. Booth parti yang bertanding di buka di ruang legar dalam Pasaraya. Senang kalau ada yang singgah ingin bertanya. Lagipun, buat apa melabur berhabis ribuan ringgit kempen habis-habisan, kalau sekadar retorik bagi memancing undi dan menabur janji? Kalau dah sokong dan percaya, mana mungkin kempen  sehari dua dapat membolak balikkan fikiran manusia.

Bermula 26 August, pabila tarikh mengundi diumumkan, semua parti mula mencanangkan manifesto parti mereka di dada dan belakang akhbar. Kebanyakannya fokus kepada isu integrasi dengan immigrant, pendidikan, welfare dan juga cara memperkuatkan ekonomi mereka. 

Kempen Undi : Semua parti juga turut diberi kebebasan untuk menjalankan kempen di mana-mana. Seluruh aspek media masssa. Tak kira di TV mahupun di akhbar. Penulis DKKC memang tabik habis cara begini. Memang gentlemen dan gentlewoman. Debat mengenai isu negara dan cara bagaimana setiap parti yang bertanding menanganinya dibahaskan secara terbuka dan live di TV.
Lars Lokke Ramussen,47 (PM dulu) berkerut dahi menjawab soalan ditanya oleh Helle  Thorning,44 (PM baru) dalam debat live kat TV
Parti-parti lain bebas mengkritik kerajaan memerintah dan mengemukan pandangan mereka. Yang baik dipuji, yang salah tidak dikeji tetapi diperbetulkan. Ni baru la betul. Sama-sama membantu membangunkan negara walau berbeza fahaman dan juga parti. Selain itu, daripada beberapa siri-siri debat yang diadakan, baru la rakyat tengok dan fikir parti mana yang betul-betul layak diundi dan mampu memerintah negara.

Tuduh menuduh dan cakap belakang ataupun balas-balas statement melalui media hampir tiada. Buang masa je layan propaganda murahan sebegini bagi mereka. Kat sini memang professional habis. Lagipun, dirasakan kerajaan memang telus sebab ahli parlimen/menteri yang dilantik memang betul-betul bekerja untuk rakyat bukan rakyat yang kena datang sembah mereka. 


Sebab itu juga Denmark dikenali negara paling 'bersih' dari segi korupsi di Eropah. Malah Transparency International menyenarai Denmark sebaris dengan New Zealand & Singapore, iaitu negara hampir bebas dari korupsi dalam laporan tahun 2010 dengan 9.3 mata (Malaysia #56 dengan 4.4 mata). Begitu juga laporan oleh World Audit bagi kategori Corruption Rank 2010 dan Democracy Rank 2010 yang mana Denmark turut unggul di kedudukan pertama bagi kedua-dua kategori di samping beberapa negara lain dan Malaysia di kedudukan #42 & #80.
Penulis terserempak dengan PM Denmark, semasa pulang beraya. Memang sempoi habis. Tapi bukan naik beca tu, turun limo la. Turut kelihatan dalam gambar, seorang anak Malaysia lengkap berbaju melayu merah sibuk bergambar depan Tivoli :)
Selain itu, Facebook juga dilihat menjadi elemen penting wadah berkempen. Setiap hari calon akan update kat mana pergi kempen dan berkempen secara online. Jadinya kalau bilangan follower ataupun member di fanpage atapun group  bagi sesebuah parti kat FB tersebut ramai, maka kiranya parti tu lebih popular la.

Hari mengundi: Di hari mengundi tiada beza dengan hari yang lain. Orang bekerja mahupun pelajar sekolah menjalankan aktiviti seharian seperti biasa. Memang tiada perbezaan ketara. Yang sedikit bezanya hanyalah bendera Denmark yang berkibar megah di bangunan dan juga bas yang menandakan ada peristiwa penting pada hari tersebut.


Umur Mengundi: Kat sini umur 18 tahun dah boleh mengundi. Semua rakyat di Denmark didaftarkan dengan sistem nasional 'Det Centrale Personregister' (CPR), macam IC/Kad Pengenalan di Malaysia. Jadi, bila dah cukup umur serta layak mengundi, surat akan dihantar ke rumah untuk memaklumkan tarikh, waktu dan tempat pembuangan undi. Tak perlu susah-susah kena daftar. Lagipun kat sini tiada daftar pemilih yang diuruskan oleh SPR kalau di Malaysia. 


Kebanyakkan calonnya yang bertanding pulak berumur adalah lingkungan average 35-45 tahun. Tak muda dan juga tak la tua sangat. Rasanya umur macam ni memang sesuai. Baru la boleh bekerja kuat untuk berkhidmat demi negara..

Cara Mengundi: Walaupun negara Denmark ni dikira maju dan moden, kaedah mengundi masih menggunakan kaedah standard iaitu pangkah-memangkah dan masukkan ke dalam peti undi jugak. Peratus keluar mengundi adalah 87.7%. Tu la, ingatkan poll secara online tapi rupanya masih guna kaedah manual tapi boleh bawak anjing mengundi bersama.

Di tempat mengundi lansung tiada peraih undi sibuk berlegar-legar seperti di Malaysia. Situasi tegang seperti sorak-menyorak tepi jalan, baling-baling objek, pastu gaduh-gaduh yang sinomin di hari mengundi di Tanah air tiada. Polis pun tiada. Kan dah banyak jimat kat situ (tak perlu bayar claim over time polis yang bertugas dan sebagainya). Ni la baru boleh dikatakan sebagai negara maju dengan prasarana kelas pertama, berminda kelas pertama dan bukannya kelas ketiga.
Denmark dengan prasarana kelas pertama dan minda kelas pertama tetapi kekadang ada jugak yang tak de minda 
Politik di Denmark
Pilihanraya di Denmark telah diadakan pada 15 September bagi memilih 179 ahli Parlimen yang baru. Di sini, terdapat 2 pakatan utama iaitu The Blue Alliance   (Pakatan Kanan) yang menggunakan simbol warna Biru dan juga  The Red Alliance  (Pakatan Pembangkang) yang dilambangkan dengan warna Merah.

Pakatan Kanan (dikenali sebagai pakatan kanan sebab parti kerajaan memerintah) tapi sebenarnya parti ‘Venstre’ bermaksud kiri in Danish, sebab dulunya gabungan parti ini dulunya adalah pembangkang. Pakatan ini diterajui oleh parti Liberal dan dianggotai oleh 3 parti kecilan yang lain manakala terdapat 5 parti lain yang bergabung menjadi Pakatan Pembangkang yang dikuasai oleh Parti ‘Social demokraterne’ (Social Democrat). 

Kalau di Malaysia Venstre tu adalah seperti Barisan Nasional dan parti lain seperti Liberal, Conservative, Danish People’s Party dan lain adalah umpama UMNO, MCA dan MIC.

Keputusan pilihanraya pada 15 September telah pun diumumkan. Hasilnya, pakatan ‘pembangkang’ telah menumbangkan pakatan kanan walaupun kerusi yang dimenangi oleh parti utama pakatan kanan iaitu Parti Liberal bertambah namun  bilangan kerusi parlimen untuk menang majoriti masih didahului oleh Pakatan Pembangkang dengan 89-86.

Setelah diumumkan, Perdana Menteri yang sedia ada dengan tenang terus mengakui kekalahan dan mengucapkan tahniah pihak pembangkang. Tak de pun nak kecoh-kecoh nak protes. Teringat kata Lars Lokke Rasmussen kat TV semalam;

"Tonight, I hand over the keys to the Prime Minister's Office to Helle Thorning-Schimidt. Dear Helle, take good care of them. You're only borrowing them," Kata PM lama kepada PM baru setelah tewas..  


Perdana Menteri Wanita yang Pertama di Denmark
Maka, sejarah baru negara Denmark tercipta. Helle Thorning-Schmidt iaitu pemimpin Parti utama gabungan pembangkang iaitu Social Demokrat dilantik menjadi Perdana Menteri yang baru. PM wanita pertama di Denmark dan juga yang pertama bagi di Negara-negara Nordic.

Helle Thorning-PM wanita pertama di Denmark dan menjadi Head of Government wanita yang ke 53 di Dunia
Sebelum ini, Prime Minister di Denmark adalah Lars Løkke Rasmussen (Apr 2009-Sept 2011). Beliau menjadi PM setelah PM yang terdahulu iaitu Anders Fogh Rasmussen (2005-2009) meletakkan jawatan kerana memilih untuk menggalas tugas yang lebih berat sebagai Secretary General di NATO.

Yang uniknya, PM yang terdahulu sebelum Anders Fogh juga mempunyai nama ‘Rasmussen’ iaitu Paul Nyrup Rasmussen, sehinggakan ada yang membuat teori PM yang seterusnya juga akan mempunyai nama ‘Rasmussen’. Walaupun mempunyai nama keluarga yang sama, mereka bukan bersaudara mahupun ada ikatan kekeluargaan. Ini kerna nama Rasmussen memang nama yang popular di sini dan akhiran ‘sen’ tersebut bermaksud ‘son’ (anak lelaki).


Dan nampaknya teori tuah nama anak lelaki ‘Rasmus’ nampak kurang menjadi pabila seorang wanita bernama Helle Thorning-Schimidt menjadi Perdana Menteri wanita yang baru di Denmark.

Friday, September 2

Satu Pagi di Hari Raya di Copenhagen

Dalam dingin subuh, hatiku terusik
  Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya, menitis air mata
  Terbayang suasana permai desa..

Begitulah alunan bait-bait lagu Sudirman yang berjudul 'Dari Jauh Kupohon Maaf'. Memang menusuk kalbu bila mendengarnya. Apatah lagi kalau anda sememangnya berada jauh di perantauan. Bukan lagu ini saja, begitu juga lagu ‘Dendang Perantau’ oleh P. Ramle dan juga ‘Kepulangan yang dinanti’ oleh Aman Shah.

Oleh sebab itu, lagu raya sadis sebegini memang telah lama kena banned oleh perantau-perantau. Lebih-lebih lagi lagu ‘Balik Kampung’ oleh Sudirman. Buat tragis je perantau dengar. Nanti buat spoil mood raya dan rugi je dehydrate sebab sedu sedan berlinang air mata. Namun, lagu-lagu raya yang ‘gembira’ yang lain ok la. Memang sesuai.


Al-kisahnya pada tahun ini, penulis DKKC sekali lagi miss solat hari raya aidilfitri. Kalau tahun sebelumnya akibat terlepas bas, tapi kali ini terpaksa beraya di dalam kelas plak. Maklumlah dah start kelas. Tatkala orang lain tengah sibuk bertakbir dan bertahmid, penulis DKKC pulak khusyuk menimba ilmu di dalam bilik kuliah. Alah, bukannya selalu dapat pengalaman beraya di dalam kelas kan???
Juadah di pagi raya yang ala kadar sebelum ke kelas ..
Nak buat macam mana. Inilah namanya pengorbanan. Walaupun, ini bukan Raya Korban tapi Raya Aidilfitri (Fitrah), terpaksala jugak. Nak je pakai baju melayu bersamping  dan bersongkok ke kelas, tapi gentar la plak. Nanti orang kata pakai skirt nak pergi costume parti mana plak ni...huhu

Pada sebelah petangnya barulah berkesempatan pergi beraya di rumah rakyat Malaysia yang berada di Denmark ni. Dapatlah merasa lemang dan bertemu dengan yang lain.
Tradisinya beraya di perantauan ni, ada je rumah terbuka pada hujung minggu. Ye la, hari weekday memasing sibuk. Hmm..tengok la rumah sapa yang akan kena serang hujung minggu ni..

Akhir kata, pihak penulis DKKC menyusun sepuluh jari serta keyboard memohon kemaafan  sempena hari lebaran ni. Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung DKKC tak kira di Malaysia mahupun di luar negara.

P/S: teringin nak makan tapai….

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...